Setahun sembilan bulan. Tepat. Alhamdulillah.. Walaupun terkadang terbit rasa risau di hati mengenangkan hidup yang semakin lama menggunungkan dosa. Ada waktu diri menjadi lupa akan hakikat, bahawa diri adalah muallaf. Wahai diri, ingat lagi tak pintamu dalam kebingungan, memohon petunjuk? Ingat lagi tak engkau yang berputus asa,yang hidup cuma kerana engkau hidup? Ingat tak?
Alhamdulillah, pada waktu ini sedang mengikuti Kursus Bimbingan Muallaf di pekan. Rata-rata yang turut menyertai kursus ini adalah para muallaf yang sudah 2-3 tahun memeluk agama Islam, iaitu seramai 18 orang termasuk diri saya sendiri.
Banyak yang saya perolehi dari sana walaupun isi pelajarannya adalah yang asas-asas sahaja. Saya diingatkan tentang siapa diri saya. Selain daripada itu, saya juga disedarkan tentang besarnya tanggungjawab. Terlalu banyak yang Allah lebihkan pada diri. Dari percakapan dengan peserta lain, ternyata tak ramai yang menjaga solat, tak ramai yang tahu membaca al-Quran, tak ramai yang rajin belajar dan sebagainya. Tetapi bagi diri saya, terasa seperti Allah telah menetapkan jalan yang saya lalui ini menuju kepada-Nya. Terlalu banyak yang Allah lebihkan. Alhamdulillah. Tetapi dengan kelebihan-kelebihan ini, tentulah tanggungjawab yang dipikul semakin berat pula.
"Awak lain, awak tak pernah merokok, awak tak pernah minum arak, awak tak pernah ber'couple', awak memang tak suka pergi tempat-tempat hiburan, jadi senanglah nak jalankan hidup sebagai Muslim. Yang saya ni memang payah nak buang lah yang biasa saya buat," kata seorang rakan. Memang betul, tapi itu terjadi atas izin Allah jua. Saya tidaklah mampu untuk menjaga diri sendiri.
Persengketaan di kelab sukan yang menyebabkan saya lebih aktif di kelab keugamaan, masalah di surau setempat yang menyebabkan saya berjumpa dengan orang-orang hebat di kampung sebelah, orang kampung tiba-tiba tidak datang ke kelas al-Quran sehinggakan saya seorang sahaja yang memanfaatkan guru sehabis-habisan dan banyak lagi. Jika dilihat, semuanya bukanlah atas kehendak saya sendiri. Tetapi takdir Allah mendahului segalanya, semoga Dia memberiku dan orang di sekeliling taufiq dan hidayah yang berpanjangan.
Benarlah, segala sesuatu yang terjadi itu ada pengajarannya, jika saja hati kita terbuka untuk mengambil ibrah darinya. Walau bagaimanapun, se'bukan-biasa'nya diri pun, saya tetaplah seorang muallaf yang perlukan bimbingan. Cuma bezanya, Allah jadikan tiada seorang pun yang pernah mengatakan "awak telah berubah" kepada saya. Jadi jika anda lahir sebagai Muslim, dan ketika hidayah menyapa ada orang sekeliling mengatakan "awak telah berubah", bersyukurlah. Kerana perubahan bagi seorang Muslim itu cuma menuju kepada perkara kebaikan. Saya pernah mendengar hadis dari guru saya yang berbunyi:
"Barangsiapa yang hari ini lebih baik dari hari kemarin sesunguhnya dia telah beruntung, barangsiapa yang hari ini sama dengan hari kemarin, maka sesungguhnya ia telah merugi. Dan barangsiapa yang hari ini lebih buruk dari hari kemarin, maka sesungguhnya ia terlaknat.'' (HR Dailami)
"Nikmat terbesar adalah iman dan Islam. Dan karunia terbesar yang nyaris tidak dapat dibandingkan dengan apapun adalah keimanan dalam dan karena suatu perjalanan. Seorang muslim yang terlahir dari rahim muslimah dan otomatis muslim tidak akan mendapatkan hal-hal istimewa yang diperoleh seorang yang hatinya dimuallafkan olh Allah swt dengan apapun sebabnya. [Dari Facebook]
No comments:
Post a Comment