Thursday, April 21, 2011

Di persimpangan hijrah


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum warahmatullah wabaratuh buat saudara dan saudari yang dirahmati Allah sekalian. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengilhamkan saya untuk berkongsi dengan anda sekalian tentang sesuatu yang lama terbuku di hati. Ringan rasa jari menaip, mungkin sudah tiba masanya untuk melepaskan beban ini. Adapun tujuan utama tertulisnya artikel ini adalah buat peringatan, terutamanya sekali bagi diri saya sendiri yang terlalu banyak kekurangan.
Sebelum itu, saya ingin mengajak saudara dan saudari yang dirahmati Allah sekalian untuk sama-sama merenung satu persoalan ini. Apakah perasaan anda semua sekiranya ada orang yang sangat anda kasihi dan sayangi mati di dalam keadaan kufur? Dapatkah anda membayangkan keadaan orang tersebut yang akan diseksa di dalam neraka buat selama-lamanya? SELAMA-LAMANYA…

Saya dilahirkan di dalam keluarga yang belum berugama Islam, di dalam keluarga yang sederhana dan harmonis. Di samping ibu dan ayah, saya juga turut dijaga oleh nenek. Kira-kira 5 tahun lepas, nenek jatuh sakit. Dari hari ke hari sakit nenek semakin tenat manakala saya pula masih lagi berselimutkan kejahilan, kurang ambil peduli sangat. Jiran kami yang tolong jagakan nenek padahal saya sendiri berada di rumah pada ketika itu.

Masih terngiang di telinga suara beliau pada pagi itu, “Manja.. badanku lemah..” Sambil membetulkan bantal beliau, aku mendekatkan telinga ke bibirnya. “Badanku sangat lemah…,” katanya lagi. Lalu petang itu suara tangisan memenuhi ruang rumah, saudara-mara turut datang. Takdirlah yang menentukan dia meninggalkan dunia ini di dalam keadaan sedemikian. Pada ketika itu tak terfikir pun tentang syurga dan neraka, tentang pambalasan Allah di hari akhir kelak. Cuma tahu menangis dan menangis mengenangkan hal dunia.

Waktu silih berganti namun keberadaan beliau masih dirindui. Setelah empat tahun berlalu, saya pun berhijrah, alhamdulillah. Kebanyakan waktu dimanfaatkan untuk menuntut ilmu. Betapa hancurnya hati saya apabila mengenangkan nasib beliau di sana. Tak sanggup untuk membayangkan wajahnya.. Air mata bertakung di hati, ingin dilepaskan apa gunanya? Semenjak hari itu saya cuba melupakan segalanya. Tiada guna untuk dikenang lagi. Memang, ada kalanya rindu bertandang namun ku cuba menutup jendela hati. Kadang-kadang saya sudah tidak tahu untuk merasakan apa lagi. Kejam, tidak berhati perut? Lebih menyakitkan lagi bila terkadang mendengar ungkapan rindu saudara terhadap beliau. Hati rasanya bagaikan disiat-siat. Yang ada cuma rasa kecewa. Di manakah orang Islam pada ketika orang-orang jahil memerlukan bimbingan? Tidakkah mereka ingin menyelamatkan saudara-saudara mereka dari dihumbankan ke neraka Jahannam buat selama-lamanya? Astaghfirullah.. telah ku habiskan sisa-sisa rindu untuk menulis kisah ini.
LALU BAGAIMANA DENGAN KITA?? Berapa lama lagikah kita akan hidup? Yakin sangatkah kita bahawa apabila kita melelapkan mata pada malam ini, esok kita masih bernafas lagi? Dan bagaimana dengan iman? Jika nyawa kita dicabut pada ketika ini, adakah kita akan terselamat dari azab neraka? Mungkin kita sedang menganut agama Islam tetapi akankah kita mati sebagai seorang Muslim?

“Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kalian kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kalian meninggal kecuali kalian tetap sebagai muslim. (Qs Ali Imron: 101)

Marilah kita sama-sama muhasabah diri, selama ini adakah kita sudah layak dipanggil seorang Muslim?
Apakah kita menjaga solat?
Daripada Abdullah bin Umar r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa pada suatu hari baginda menyebut tentang solat lalu baginda bersabda, yang bermaksud:
“Sesiapa yang memelihara solat, nescaya solatnya menjadi nur untuknya, ketandaan (iman) dan kelepasan (dari neraka) pada hari kiamat. Sebaliknya sesiapa yang tidak memeliharanya nescaya tiada nur baginya, ketandaan dan kelepasan. Malahan dia adalah (dikumpulkan dalam neraka yang paling panas sekali) bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalaf.”(Hadis riwayat Ahmad, at-Tabrani dan Ibnu Hibban).
Daripada Jabir r.a. meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:
“Sesungguhnya meninggalkan solat ialah (perkara yang menghubungkan) seseorang dengan kufur.”(Hadis riwayat Ahmad dan lain-lainnya).
Ijma’ para ulama mengatakan bahawa hukum orang yang meninggalkan solat kerana ingkar terhadap kewajipannya, adalah jatuh kafir.
Namun, sekiranya seseorang itu meninggalkan solat atas sebab malas, tetapi dia tahu dia wajib solat, maka terdapat tiga pendapat ulama tentang hukumnya, iaitu:
  1. Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi dia menjadi fasik. Maka wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali mengerjakan solat. Sekiranya dia enggan bertaubat maka dijalankan ke atasnya hukuman hudud, iaitu dibunuh dengan pedang.
    Ini pendapat Imam Malik, Syafi’e dan jumhur ulama salaf dan khalaf.
  2. Orang itu menjadi kafir. Hukumnya sama seperti orang yang ingkar terhadap kewajipannya tadi.
    Ini adalah pendapat satu jemaah daripada para salaf yang diambil riwayatnya daripada Saidina Ali bin Abu Talib dan salah satu pandangan Imam Ahmad bin Hambal serta pendapat Abdullah bin al-Mubarak dan Ishak bin Rahawaih.
  3. Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, sebaliknya ditakzirkan dengan dipenjarakan sehingga dia mengerjakan solat.
    Ini pula adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan satu jemaah daripada para fuqahak Kufah dan juga pendapat al-Muzani seorang pendokong dan pengikut Imam asy-Syafi’e.
(Soleh.net, 2008)
Jika kita mati pada hari ini, bebaskah kita daripada syirik?
"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa selain dari syirik itu bagi siapa yang di kehendaki-Nya." (an Nisa': 116).

"Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan padanya surga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang dzalim itu seseorang penolongpun." (Al Maidah: 72).

Di antara perkara syirik ialah berdo’a kepada selain Allah, mencintai sesuatu atau ‘seseorang’ melebihi Allah dsb. (http://trimul.multiply.com/journal/item/4)

Lalu, adakah kita serius di dalam menjalankan kewajipan-kewajipan kita? Di dalam beribadah? Menutup aurat? Menjauhi zina?
"Katakanlah wahai (Muhammad), 'Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kalian selalu berolok-olok?' Tidak usah kalian minta ma'af, karena kalian kafir sesudah beriman." (At Taubah: 65-66)

Astaghfirullah al-adzhim.. Terlalu banyak perkara yang kita ambil mudah. Saudara dan saudari yang dirahmati Allah sekalian, sama-samalah kita berdoa dan berusaha agar hidup dan matinya kita tidak ada yang lain melainkan sebagai seorang Muslim. Janganlah sampai kita Islam hanya pada nama atau I/c sahaja.

“Wahai orang-orang beriman, selamatkanlah dirimu dan keluargamu dari Neraka, sedangkan bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Neraka itu dijaga oleh malaikat-malaikat yang kasar dan keras. Mereka sama sekali tidak pernah durhaka pada Allah dan melaksanakan apa sahaja yang diperintahkan pada mereka.” (At-Tahrim: 6)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengilhamkan anda untuk terus membaca sehingga akhir. Yang baik datang dari Allah, yang buruk adalah dari kecetekan ilmu saya jua. Jika terdapat kesalahan sila tolong betulkan. Semoga bermanfaat.