Tuesday, July 31, 2012

Pelatih dan singa

Teringat akan sebuah cerita yang pernah dibaca sewaktu masih lagi di sekolah rendah dahulu.. Bahawa dikisahkan suatu masu dulu ada seorang penghibur yang sangat terkenal kerana berjaya melatih bermacam-macam jenis haiwan di dalam pertunjukkan sarkasnya. Salah satunya ialah singa, yang di dalam pertunjukannya si pelatih tadi akan memasukkan kepalanya di dalam mulut singa tersebut.

Seperti biasa, pada persembahan kali ini pelatih tadi juga dijadualkan untuk memasukkan kepalanya ke dalam mulut singa. Setelah tiba giliran, dia pun maju ke atas pentas membawa singa itu, lalu bersiap dengan posisi yang biasa, dengan singa itu di atas kerusi. Singa pun membuka mulut sebesar-besarnya, dan perlahan-lahan pelatih tadi memasukkan kepalanya ke dalam mulut singa itu. Penonton terdiam kegerunan. Setelah cukup waktu, pelatih tadi pun cuba mengeluarkan kepalanya tetapi tiba-tiba singa itu menutup mulutnya. Pelatih mencuba untuk tidak panik tetapi singa itu menggeleng-gelengkan kepalanya, lalu pelatih itu pun pengsan..

Apabila terbangun, ternyata dia berada di bilik rawatan, masih hidup.. Terdapat rasa fobia yang bermaharajalela di dalam hatinya. Walaubagaimanapun, dia melarang pekerjanya untuk menghukum dan mengeluarkan singa tersebut dari sarkasnya. Bahkan dia menyatakan bahawa dia mesti meneruskan persembahan-persembahan seterusnya kerana dia tidak mahu menzhalimi singa tersebut.

Menzhalimi? Sampai di sana, saya pun menutup buku. Menzhalimi? Apa kena mengenanya...? Ternyata baru-baru ini barulah saya faham apa yang dimaksudkan oleh pelatih tersebut..

Faham tak?

Friday, July 20, 2012

yang ketiga

Salaam, rasanya seperti sudah terlalu lama..

Waktu mengalir deras, tak terasa nyawa juga semakin terperas, Ramadhan tiba dengan pantas.. InshaAllah, ini adalah Ramadhanku yang ketiga dan yang pertama buat beberapa ahli keluarga.

Sepertimana aku terkadang hairan bagaimana aku sampai untuk pulang di perjalanan-perjalanan yang mengantuk, sebenarnya aku juga takkan pernah tahu jika di satu perjalanan yang lain aku akan sempat untuk pulang. Kejadian baru-baru ini membuatku merasa seperti Allah menempelakku akan nilai nyawa.. Sahabat yang pernah mengisi lembaran diari kehidupanku ternyata tidak sempat bertemu dengan Ramadhan..

Teringat akan kata-kata seorang akh kepadaku di Ramadhanku yang pertama dahulu, bahawa di sekitar bulan Ramadhan kita menyedari akan banyaknya jiwa-jiwa yang pergi dijemput Ilahi, dan boleh jadi kita jua adalah salah seorang daripada mereka.. Kerana kita takkan pernah dapat untuk memastikan bahawa kita masih hidup minggu depan, atau esok bahkan di lima minit yang mendatang.. Katanya di penghujung nyawa, kita rindu diseru oleh Allah sebagaimana yang dikatakanNya di tiga ayat terakhir surah al-Fajr. Betapa indahnya.. Betapa lembutnya.. Sungguh, aku rindu..

Dua kali Ramadhan tiba, dan dua kali juga ia pergi, cukupkah segala amal ibadahku? Aku yakin dan tersangat yakin, selagi aku masih bernafas, itu cuma bererti bahawa segala kebaikan yang kuperlakukan takkan pernah cukup, dan hanya dengan meneruskan kehidupanlah yang terbaik bagiku. Tidak ada seharipun yang lewat tanpa kupanjat doa itu..

Oleh itu, di Ramadhan kali ini, jika aku sempat untuk menghantarnya pergi sebagaimana aku sempat untuk menyambut ketibaannya, tiada lain yang ku harapkan melainkan pengampunan dan rahmat-Mu, ya Rabb, kerana aku juga ingin melihat wajah-Mu tanpa perlu mencium bau neraka-Mu, kerana aku juga rindu untuk bertemu kekasih-kekasihmu..