Salaam warahmatullah, salaam aidil adha al-mubarak =)
Alhamdulillah tahun ini pertama kali menyertai majlis berkorban selaku ahli jawatankuasa kerja. Banyak juga perkara baru yang telah dipelajari dari orang-orang kampung. Tubuh pun boleh tahan juga letihnya, siapa kata memotong dan melapah tu tak letih? ':D Kena mujahadah, kalau ikutkan hati boleh saja saya dan rakan balik awal memandangkan kami cuma sukarelawan sahaja, tetapi tidak. Kata Said Hawa, mujahadah itu akar umbinya kenalah kerana mentauhidkan Allah. Yalah, kita bermujahadah tu untuk mendekatkan diri kita dengan Allah, supaya diri kita dan orang lain juga turut mentauhidkan Allah sebagaimana layaknya. Jika sudah begitu, maka mujahadah itu nanti, walau seletih mana pun ia, akan jadi manis. Sungguh, kita akan dapat apa yang kita niatkan.
Diri rasanya tak pernah merasakan perkara yang lebih manis daripada jiwa yang tunduk di dalam dada sebuah jasad yang letih bekerja sambil berharap jika seandainya waktunya tiba nanti biarlah di dalam keadaan seperti ini, sibuk dan lelah berjuang di jalanNya. Lalu semakin lelah tubuhnya, semakin keras ia bekerja seolah-olah berharap nyawanya juga turut mengalir keluar dari jasadnya seperti mengalirnya tenaga. Lalu di dalam letihnya solat dan doanya terasa semakin khusyu', seolah-olah ia melihat Allah dia saat ia berdiri, di saat ia ruku'. Wahai Allah, jiwaku semakin hari terasa semakin kotor, usiaku semakin banyak tersia, kumpullah aku bersama-Mu sementara aku masih mampu menunaikan kewajipanku, janganlah Engkau biarkan aku terombang-ambing semakin jauh dariMu.
Usaha untuk mendapatkan sesuatu yang kita belum ada rasanya lebih mudah untuk ditanggung, tetapi usaha untuk membuang sesuatu yang kita punya terasa sangat sukar. Untuk membuang sesuatu yang nampak itu lebih mudah, dan untuk membuang sesuatu yang tidak nampak itu adalah lebih sukar. Perasaan, dan apa-apa yang ada di dalam hati itu tidaklah nampak, dan amat sukar untuk dibuang. Apakah kerana di dalam hati masih terasa sangat berat untuk melepaskan? Dan jiwa masih merasa terikat sedangkan diri tahu ianya salah? Astaghfirullah.
Untuk aidil adha kali ini aku ingin mengorbankan benda-benda yang tak nampak ini, walaupun aku tahu mereka mungkin akan berbalik, tetapi sekurang-kurangnya aku dah cuba. Ini bukanlah yang pertama, dan mungkin bukan yang terakhir juga.
No comments:
Post a Comment