Dunia.. Siapalah yang menyangka, jarum berbisa itu akhirnya memarutkan luka dan menggelapkan jiwa. Pernahkan engkau merasainya? Bila sesuatu itu adalah perkara yang engkau kasihi, tetapi ternyata akhirnya menjadi tanda dosa?
Siapalah yang menduga, bila ternyata kedekatan itu menghasilkan rekah yang dalam. Tanpa disedari, rupa-rupanya jiwa telah lama sakit kerana terdapat penghalang di antaranya dengan Sang Pencipta.
Setiap kita pasti pernah terluka, masalahnya adalah luka kerana apa. Kita pasti tidak kisah walau sebesar apa pun parut yang tertera jika ia adalah akibat dari kebaikan. 'Ammar bin Yasir (ra) sangat bangga dengan telinganya yang terputus, kenang-kenangan dari perang Badar. Begitu juga para sahabat yang di tubuh mereka terdapat puluhan luka demi mempertahankan Rasulullah saw di medan Uhud. Dan sudah tentunya para syuhada pun begitu.
Tetapi alangkah menyakitkan, bila parut itu, walau tiada kelihatan, ternyata adalah bekas-bekas dosa. Jiwa kita terluka, bila jauh dari Allah. Parut di jiwa, terasa berdarah bila terkenangkannya. Oh, alangkah berdosanya aku..
Cukuplah sekali sahaja bagiku engkau, wahai sang parut, sebagai teguran buatku.. Terasa solat taubatku takkan pernah berhenti ku ulang setiap kali terkenangkanmu.. Cukuplah engkau wahai sang luka, sebagai pengingat, bahawa akulah insan berdosa..
Ya Allah, ampunkanlah aku untuk setiap detik yang berlalu, yang aku rasakan mampu hidup tanpa-Mu..
Ya Allah, ampunkanlah aku untuk setiap hembus nafas, yang aku sia-siakan tanpa mensyukuri..
"Yã ayyuhalladzina ãmanü tübüü ilallahi taubatan-nasühä..."
No comments:
Post a Comment