Friday, November 18, 2011

Kerana kita pengembara

Di dalam hidup ini kita adalah pengembara yang singgah sebentar untuk berteduh di pepohonan dunia. Dan apabila tiba waktunya untuk meneruskan perjalanan, tiadalah mampu untuk kita awalkan atau lambatkan barang sedetik. Dunia adalah persinggahan.

Berteduhnya kita di bawah bayang-bayang dunia ini adalah tidak lain untuk mempersiapkan diri dan mengumpulkan bekal untuk perjalanan yang lebih panjang, satu kehidupan yang kekal. Semua orang tahu itu.

Tapi.. apa yang orang ramai tak tahu, wahai diri, di kalangan pengembara itu ada orang-orang yang benar-benar rindu supaya cepat sampai ke tujuan agar dapat bertemu dengan Sang Pencipta. Dan pada masa yang sama merasa sangat takut dan risau, bimbang jika diri tak layak untuk bertemu dengan kekasih hati. Memang takkan pernah layak pun, melainkan dengan rahmat-Nya jua.

Dan di kalangan para pengembara, ada hati-hati yang berjanji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Nya, yang berharap apabila tiba saat untuk bertemu dengan Rasul tercinta (saw), maka nampaklah senyumnya.. Kita adalah sebahagian daripada mereka, insya'Allah.

Jadi tetaplah tabah.. Kembara kehidupan kita berbeza. Pengembaraan kita bersulamkan pengorbanan dan memang begitulah adat insan dalam perjuangan. Selagi kita masih melangkah di jalan ini, selamanya kita akan merasakan kepahitan di dunia. Tetapi ketahuilah, itu adalah kerana syurga itu manis. Dan tujuan kita bukanlah dunia. Masih ingat lagi bukan, jalan yang baginda Rasulullah (saw) lalui juga bukanlah jalan yang ditaburi dengan bunga-bunga, malah lorong yang panjang penuh onak dan duri.

"Sesungguhnya Allah membeli daripada orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta mereka dengan (balasan) mereka akan beroleh syurga disebabkan mereka berjuang pada jalan Allah" (at-Taubah: 111)

Semoga Allah tetapkan kembara kita di atas landasan yang lurus. Aamiin.
Dan teruslah menyinari dari tampuk perjuangan.
Al-faqir ila Allah,
Samira Razin

No comments:

Post a Comment