Thursday, November 11, 2010

Indah Hijrah Kepada-Mu




 Pernah pada suatu ketika beberapa tahun lepas seorang sahabat bertanya, “Bila akhi nak berhijrah?” Lalu aku mengatakan apabila hampir tiba masanya untuk aku meninggalkan dunia sambil tergelak kecil. Dia turut tergelak sama lalu berkata, “Wah pandai betul! Tapi rugi lah pasal tak sempat merasa nikmat beribadah.” Sahabatku, jika awak nak tahu, itulah perkara yang paling aku rindukan ketika itu, sujud kepada-Nya, hidup untuk-Nya dan mati di dalam keredhaan-Nya. Betapa kuatnya keinginanku untuk bertemu dengan-Nya dan betapa risau kalbuku bimbang tak sempat.. tak sempat untuk mengucap syahadah-Nya.


Dibesarkan di dalam suasana keluarga yang ‘belum Islam’ (mudah-mudahan menjadi sebuah keluarga Islam, amin..), aku amat bersyukur kerana diberikan pendidikan dan kasih sayang yang secukupnya. Aku juga amat bersyukur dilahirkan di Negara Brunei tercinta ini yang mengamalkan falsafah MIB sehinggakan cara hidup rakyat kebanyakkannya mengikut falsafah ini tidak kira bangsa dan agama (sekurang-kurangnya di tempat kelahiranku =D). Kadang-kadang terfikir juga bagaimana jika aku dilahirkan di tempat lain di masa yang lain, masihkah aku seperti aku yang sekarang? Jika aku dilahirkan kaya dan kacak mungkin aku jadi jahat, jika aku dilahirkan di keadaan yang lain pula akan berbudi pekertikah aku? Oleh itu aku bersyukur, alhamdulillah.. Syukurku juga sebagai ummat Nabi Muhammad SAW. Dahulu sering juga merungut kerana perlu pergi ke sekolah agama sedangkan pada ketika itu saya masih lagi berstatus ‘free thinker’. Bila dikenang-kenang lucu juga teringat hobi ‘escape’ sekolah ugama petang untuk pergi swimming di sungai belakang rumah pakcik yang terletak seberang sekolah, hiking di belakang ‘rumah kedai’, bermain layang-layang dan yang paling parah, berkungfu di kebun pisang nenek haha.. Rindu lah.. =’) Sebab apa? Semuanya sebab dulu tu tak suka seorang ustazah tu yang suka paksa saya membaca tafsir al-Quran dengan beralun. Malu la! Haha.. Tapi sekarang, oh betapa besarnya kesyukuranku kerana diberikan pendidikan agama. 


Aku juga bersyukur kerana dianugerahkan kecintaan kepada ilmu terutamanya bab-bab kerohanian ni, serta alam semula jadi. Banyak buku-buku berkaitan dengan berbagai jenis agama telah ku baca dengan tujuan untuk membuat perbandingan dengan mata kepala sendiri. Buku-buku tersebut sering ku sorokkan agar saudara-saudaraku tidak terbaca bimbang mereka tidak cukup kuat untuk melawan hasutan Syaitan Laknatullah. Jiwaku tak pernah hilang rasa dahaganya, malah semakin banyak buku ku baca semakin luas rasanya, justeru semakin kuatlah keyakinanku pada Islam dan semakin membara rasa rinduku pada-Nya. “Ya Allah, janganlah kau cabut nyawaku sebelum aku berada di jalan yang benar, di jalan-Mu ya Allah.” Selain daripada itu, kebanyakkan dari masa juga kugunakan untuk duduk berjam-jam menikmati keindahan alam. Masa tinggal di asrama sekolah menengah dulu suka duduk di atap rumah warden hujung sekali dari petang kadang-kadang sampai ke malam. Deru angin kencang, ratusan pipit berterbangan memenuhi sebatang pohon, awan-awan yang bertukar warna, kenawai yang dijadualkan melintas kepalaku hampir setiap kali azan Maghrib berkumandang, munculnya sang bintang satu persatu dan macam-macam lagi, yang kadang-kadang diakhiri dengan sergahan sahabatku, “Hoi mandi! Tidak study malam kah?” haha xD


Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Surah Ali 'Imran:190)


Ilmu-ilmu hasilku menyelongkar buku-bukuan dan berbincang dengan guru agama ada yang ku amalkan dan ada yang tidak. Orang berwudhu’ sebelum tidur aku pun berwudhu’ sebelum tidur. Orang berpuasa, aku pun berpuasa. Orang makan makanan halal aku pun mengharamkan diri dari yang haram. Jika dikenang balik, perkara yang ku tak buat cuma solat dan memberi salam. Pernah suatu ketika tu di bulan Ramadhan aku turut berpuasa lalu seorang sahabat berkata, “Untuk apa anta puasa? Bukannya diterima Allah pun, tak cukup syarat.” Sahabatku awak benar, dan betapa bertambah risaunya jiwaku yang memang risau pon haha.. Lalu sambil cuba untuk membendung perasaan aku berkata, “Orang nak rehearsal la ne!” xD Terdapat pula pengetahuan tentang hukum-hukum yang tak diamalkan, I don’t care lah konon haha.. Lama-kelamaan lupa lah jadinya. Hatta dari kelupaan inilah aku membayar harga ingat semula dan insya Allah ingat selamanya. Tetapi bukan harga ini yang nak dikisahkan, tak setimpal dengan nikmat yang ku terima sesudahnya xD “Aku bersyukur pintu terbuka, aku berterima kasih dibuat percaya, cuma cara yang berbeza~”


Hari demi hari rasa rindu kian bermaharajalela, rasa rindu kian menikam-nikam jiwa. “Ya Allah, janganlah kau matikan aku sebelum aku berada di jalan-Mu. Hanya itu pintaku ya Allah.” Akhirnya, tunggu punya tunggu punya tunggu, laluan pun terbuka. Maka sprintlah aku masuk bak Usain Bolt, takut pintu tertutup semula lah katakan haha.. Pada tanggal 15hb Mei 2010, waktu yang terrindukan pun tiba. Keputusan yang ku buat tanpa persediaan, hanya seminggu sebelum pengislaman. Terima kasih bonda, ayahanda, saudaraku kerana memberi keizinan. Mula-mula risau la sikit pasal tak bersedia, tetapi Allah maha Mengetahui. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Batinku tersedak-sedak sendu saat melafazkan kalimah syahadah, jiwaku menangis, terharu mendengar alunan sayu dikir marhaban sebagai ucapan selamat datang kepada saudara-saudara baru. Ku cuba sebaik mungkin menahan air mata, ku peluk erat susuk tubuh ayahku, ku kecup pipi ibuku. ‘Ini bukan perpisahan.’ 


“Assalamualaikum,” sapa seorang pakcik sambil tersenyum. Aku terpaku seketika, lalu menoleh dan menjawab salam sambil membalas senyumannya. Manis haha.. Sungguh, pada ketika itu empangan yang cuba ku bendung nyaris pecah. Mana tidaknya, itulah perkataan yang aku rindu untuk mendengar, yang aku rindu untuk menjawab. Ya Allah, aku telah pulang, akan ku tunaikan ‘perjanjian’ yang telah dibuat oleh rohku, insya’Allah. Alhamdulillah.. =’)


Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)” (QS. Al-A’raf : 172)

No comments:

Post a Comment